“Peluru itu masih terpahat di tengah-tengah tulang dada sejak 32 tahun lalu dan ia pengorbanan paling besar dalam hidup saya bagi mempertahankan negara tercinta ini,” kata Mohd Jonoh Mohd Noor, 58, dari Rumah Kos Rendah Tok Randok, Ajil, dekat sini.
Menurutnya, kejadian kira-kira jam 3 petang pada Februari 1982 itu masih terpahat dalam ingatannya apabila dia bersama enam rakan diserang segerombolan komunis di hutan Gubir, Kedah, sempadan Malaysia-Thailand.
Katanya, sebaik menerima maklumat mengenai kehadiran komunis dia bersama beberapa rakan ditugaskan menjejak pengganas terbabit yang dianggarkan antara 10 hingga 15 orang.
“Rupanya komunis sudah memerhatikan pergerakan kami sebelum mereka melakukan serangan hendap dan nasib tidak menyebelahi saya apabila terkena dua tembakan di tulang dada dan paha kiri.
“Manakala dua lagi rakan terkena peluru pada anak telinga dan belakang leher, namun mereka hanya mengalami luka kecil serta dirawat sebagai pesakit luar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Menurutnya, bagaimanapun mereka masih mampu bertahan dan melakukan serangan balas sebelum kesemua pengganas komunis melarikan diri ke negara jiran yang hanya terletak 100 meter dari tempat pertempuran.
“Saya yang mengalami kecederaan parah diterbangkan dengan helikopter ke Hospital Pulau Pinang dan terlantar hampir sebulan di wad menerima rawatan,” katanya yang ketika itu bertugas di Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja berpangkalan di Kem Terendak, Melaka.
Sumber - Harian Metro

0 comments:
Post a Comment